ZINA bahagian I: Pengenalan


ZINA merupakan persetubuhan yang dilakukan oleh seseorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara’ (bukan pasangan suami isteri) dan kedua-duanya orang yang mukallaf dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam taklif ‘wati’ syubhat’ (persetubuhan yang meragukan).

Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan dengan seorang perempuan, dan lelaki itu menyangka bahawa perempuan yang disetubuhinya itu ialah isterinya, sedangkan perempuan itu bukan isterinya, atau lelaki tadi menyangka bahawa perkahwinannya dengan perempuan yang disetubuhinya itu sah mengikut hukum syara’ sedangkan sebenarnya perkahwinan mereka itu tidak sah, maka dalam kes ini, kedua-dua orang itu tidak boleh didakwa di bawah kes zina dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud kerana persetubuhan mereka itu adalah termasuk dalam ‘wati’ syubhat’ iaitu persetubuhan yang meragukan.

Mengikut peruntukan hukum syara’ yang disebutkan di dalam Al Quran dan hadith dan yang dikuatkuasakan dalam undang-undang qanun jenayah syariah bahawa orang yang melakukan perzinaan itu apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, iaitu disebat sebanyak seratus kali sebat. Firman Allah SWT dalam surah An Nuur ayat 3.

Maksudnya:
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan hukum seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.”

Lelaki atau perempuan yang melakukan ‘zina muhsan’ wajib dikenakan ke atas mereka hukuman had (rejam), iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati.

Lelaki atau perempuan yang melakukan ‘zina ghairu muhsan’ wajib dikenakan ke atas mereka hukum sebat seratus kali sebat dan buang negeri selama setahun.

Zina terbahagi kepada 2 jenis.
1.  Zina muhsan, iaitu lelaki atau perempuan yang telah pernah melakukan persetubuhan yang halal (sudah pernah berkahwin).

2. Zina ghairu muhsan, iaitu lelaki atau perempuan yang belum pernah melakukan persetubuhan yang halal (belum pernah berkahwin).

Hukum yang dikenakan ke atas orang yang zina muhsan dan ghairu muhsan adalah berdalilkan nas-nas berikut:

1. Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas katanya:

“Saidina Umar (khalifah Islam yang kedua) telah berkata dalam ceramahnya:sesungguhnya Allah Ta’ala telah membangkitkan (mengutus)Nabi Muhammad saw dengan sebenarnya dan menurunkan kepadanya kitab (Al Quran). Maka adalah di antara ayat-ayat yang diturunkan itu ialah ayat rejam. Kami telah membaca dan menghafaznya dan Rasulullah saw telah merejam orang yang berzina, dan kami juga telah menjalankan hukuman rejam. Sesungguhnya aku sangat-sangat takut di belakang hari nanti andainya ada orang yang berkata : Hukuman rejam itu tidak ada dalam kitab Allah (Al Quran), maka dengan itu, mereka akan sesat disebabkan meninggalkan kewajipan yang telah diturunkan Allah. Maka hukuman rejam itu hak sebenarnya atas mereka yang berzina, lelaki dan perempuan apabila zina muhsan, apabila ada saksi atau mengandung atau ia mengaku melakukan perzinaan.”                                                          
(Riwayat Syaikhan, Abu Daud, Tarmizi & Nasaai)

2. Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:

“Seorang lelaki (Ma’iz Al Islami) datang mengadap Rasulullah saw yang sedang berada di masjid maka ia memanggil baginda lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berzina, maka baginda berpaling daripadanya sehingga lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Kemudian apabila lelaki tadi membawa empat orang saksi ke atas dirinya, maka Rasulullah saw memanggilnya lalu bertanya: Adakah engkau gila. Rasulullah saw bertanya lagi.  Adakah engkau telah muhsan? Lelaki tadi menjawab: Ya, aku telah muhsan, lalu Rasulullah saw bersabda:Pergilah kamu semua dengannya dan rejamlah ia.”                                                                                                               
(Riwayat Muslim)

3. Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin Al Somit daripada Nabi SAW sabdanya:

“Ambillah oleh kamu peraturan daripada ku. Ambillah oleh kamu peraturan daripada ku. Sesungguhnya Allah telah memberikan jalan untuk mereka. Perawan dan jejaka (yang melakukan perzinaan), hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda sama janda (berzina) hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat dan direjam).”
(Riwayat Muslim dan Abu Daud)




Al Faqir Ilallah:
HISHAM MOHAMAD

ZINA bahagian II: Bukti-Bukti Untuk Mensabitkan Kesalahan Zina

Kesalahan zina adalah suatu kesalahan dalam jinayah syari’ah yang wajib dikenakan hukuman hudud ke atas mereka yang melakukan kesalahan zina itu.

Untuk mensabitkan seseorang itu bersalah dalam kes zina yang wajib dikenakan hukuman hudud mestilah dibuktikan dengan salah satu perkara-perkara berikut:

1. Perzinaan itu mesti dibuktikan oleh empat orang saksi. Firman Allah SWT dalam surah An Nisaa’ ayat 15.
Maksudnya:
“Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah 4 orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.”

2. Iqrar (pengakuan) daripada orang yang melakukan zina. Iqrar ini hendaklah dibuat di hadapan Imam (ketua negara) atau wakilnya seperti hakim atau qadhi.

3. Qarinah, iaitu perkara-perkara yang menunjukkan berlaku perzinaan, misalnya hamil (mengandung), bagi perempuan-perempuan yang tidak bersuami, atau tidak diketahui perempuan itu ada suami.

Syarat-Syarat Saksi

  1. Saksi-saksi itu mestilah empat orang yang semuanya terdiri daripada orang lelaki dan tidak diterima penyaksian orang perempuan.
  2. Baligh, iaitu orang yang telah dewasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh syara’.
  3. Berakal, iaitu orang yang mempunyai akal fikiran yang waras dan yang cukup sempurna akal fikirannya.
  4. Orang yang adil, iaitu orang yang tidak melakukan dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil.
  5. Saksi-saksi itu kesemuanya mestilah terdiri daripada orang-orang Islam, samada menjadi saksi ke atas orang Islam, atau yang bukan Islam.
  6. Saksi-saksi itu kesemuanya mestilah benar-benar melihat dengan matanya sendiri iaitu kemaluan lelaki itu ke dalam kemaluan perempuan itu seperti lidi celak masuk ke dalam tabungnya, atau seperti keris masuk ke dalam sarungnya.
  7. Keterangan saksi-saksi itu mestilah jelas, iaitu menerangkan secara hakiki masuk zakar lelaki itu ke dalam lubang faraj perempuan itu sebagaimana yang berlaku (bukan secara qiyasan).
Saksi-saksi itu mestilah melihat sendiri perzinaan itu dilakukan dalam satu tempat yang tertentu dan dalam satu masa yang sama (tidak berlainan tempat dan masa).



Al Faqir Ilallah:
HISHAM MOHAMAD

ZINA bahagian III: Pelaksanaan Hukuman Hudud


Hukuman hudud hendaklah dilaksanakan oleh Imam (Ketua Negara) atau wakilnya, iaitu hakim, tidak boleh dilaksanakan oleh orang awam, kerana hukuman hudud itu adalah hak Allah yang disyariatkan untuk menjaga kepentingan umat manusia.

Hukuman hudud hendaklah dilaksanakan di khalayak ramai secara terang-terang, tidak boleh dilaksanakan dengan bersembunyi, iaitu dengan disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.
Firman Allah SWT dalam surah An Nuur ayat 4:

Maksudnya:
“Dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang-orang yang beriman”

Hukuman hudud wajib diserahkan kepada Imam (Ketua Negara) atau orang yang bertindak sebagai wakilnya, iaitu hakim atau qadhi, kerana hukuman hudud itu perlu kepada ijtihad.

Hukuman hudud yang tidak dilaksanakan oleh ketua negara atau wakilnya adalah dibimbangkan hukuman hudud itu tidak dijalankan dengan sempurna atau melebihi daripada yang sepatutnya yang boleh menyebabkan hukuman hudud itu tidak mengikut sebagaimana yang dikehendaki oleh syara’.

Kehadiran Imam (Ketua Negara) tidak menjadi syarat dalam melaksanakan hukuman hudud, kerana Rasulullah SAW pada lazimnya tidak hadir, ketika hukuman hudud itu dijalankan.

Untuk menjalankan hukuman hudud perlu dengan izin Imam (Ketua Negara), kerana hukuman hudud yang dijalankan di zaman Rasulullah SAW adalah dengan izin Baginda, dan di zaman Khulafa’ Ar Rasyidin pula adalah dengan izin mereka itu.

Hakim yang hendak menjatuhkan hukuman hudud ke atas orang-orang yang melakukan perzinaan disunatkan meminta penjelasan daripada mereka itu sebelum hakim tadi menjatuhkan hukuman hudud itu, kerana boleh jadi ia baru zina mata sahaja, atau baru zina hidung dengan mencium, atau baru zina tangan dengan memegang sahaja.

Tindakan hakim sebagaimana tersebut adalah merujuk hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a bersabit kes Ma’iz bin Malik yang mengaku di hadapan Nabi SAW bahawa ia berzina, lalu baginda bersaba;

“Barangkali engkau baru mencium atau baru memegang sahaja, atau barangkali engkau baru melihat, Ma’iz menjawab: Tidak ya Rasulullah. Lalu Rasulullah SAW bertanya: Adakah engkau sudah muhsan? Ma’iz menjawab: Ya aku sudah muhsan. Maka Rasulullah SAW memerintahkan sahabatnya merejam Ma’iz.”

Dalam kes zina, apabila orang yang didakwa berzina itu menarik balik pengakuannya sebelum hukuman hudud itu dijatuhkan ke atasnya disebabkan tidak ada bukti-bukti yang kukuh untuk mensabitkan kesalahan zina ke atas orang yang didakwa berzina tadi, maka hukuman hudud itu tidak boleh dikenakan ke atasnya dan gugurlah hukuman hudud itu.

Mereka yang telah mengaku berzina yang mungkin pengakuannya itu dalam keadaan fikiran yang tidak sihat, atau kerana terlupa menarik balik pengakuannya tadi, disunatkan bagi hakim menyindir-nyindir lebih dahulu, dan menyelidiki lebih lanjut pengakuan mereka itu sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW bersabit kes Ma’iz bin Malik untuk menjaga jiwa manusia supaya terhindar dari hukuman hudud.

Hukuman rejam bagi pesalah lelaki hendaklah dijalankan hukuman itu dalam keadaan berdiri tanpa diikat dan tidak ditanam, samada kesalahannya disabitkan dengan saksi atau dengan iqrar (pengakuan), kerana Rasullulah SAW tidak menanam Ma’iz bin Malik, dan dua orang Yahudi ketika dijalankan hukuman rejam ke atas mereka itu.

Pesalah-pesalah perempuan yang dijatuhkan hukuman rejam hendaklah ditanam sebahagian badannya, jika kesalahannya itu disabitkan dengan saksi. Cara menjalankan hukuman rejam ke atas pesalah-pesalah perempuan sebagaimana tersebut adalah merujuk hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abi Bakrah daripada bapanya katanya;

“Bahawasanya Nabi SAW telah merejam seorang perempuan, lalu digalikan lubang hingga ke paras susu perempuan itu untuk merejamnya”

Pesalah-pesalah perempuan yang dijatuhkan hukuman rejam yang disabitkan kesalahannya dengan iqrar (pengakuan perempuan itu) tidak perlu ditanam ketika dijalankan hukuman rejam, tetapi hendaklah diikat pakaian perempuan itu supaya tidak terbuka auratnya.

Mereka yang mati disebabkan rejam, mayat mereka itu hendaklah dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan di perkuburan orang Islam sebagaimana hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Buraidah mengenai mayat Ma’iz bin Malik yang mati direjam, sabdanya;

“Laksanakanlah mayat Ma’iz itu sebagaimana kamu laksanakan mayat-mayat kamu”
       (Riwayat Ibnu Abi Syaibah)

Hukuman rejam boleh dijalankan pada bila-bila masa, samada pesalah-pesalah itu dalam keadaan sihat atau sebaliknya, kerana rejam itu memang hukuman untuk membinasakan pesalah-pesalah.

Pesalah-pesalah perempuan yang sedang hamil tidak boleh dijalankan hukuman rejam ke atasnya, kecuali setelah dan selepas perempuan itu melahirkan anaknya (bersalin).

Hukuman rejam tidak boleh dijalankan di dalam masjid, malah hendaklah dijalankan di tempat yang luas dan jauh dari tempat tinggal pesalah-pesalah itu.

Batu-Batu Yang Digunakan Untuk Merejam

Batu-batu yang harus digunakan untuk merejam orang-orang yang melakukan kesalahan zina hendaklah batu-batu yang sederhana besarnya, tidak terlalu kecil supaya tidak terlalu lama menyeksanya dan tidak pula terlalu besar.

Hukuman sebat boleh dijalankan dengan menggunakan cemeti dengan pukulan yang sederhana sebanyak seratus kali, dan cemeti yang digunakan untuk penyebat itu bukan cemeti yang basah supaya tidak melukakan, dan bukan pula cemeti yang bercabang atau pecah.

Penyebat yang menggunakan cemeti yang bercabang atau cemeti yang pecah, sebatan itu tidak dikira sebagai satu sebatan, malah sebatan tadi adalah mengikut bilangan cabang-cabang yang ada pada cemeti itu.

Hukuman sebat tidak boleh dijalankan di masa waktu terlalu panas, atau di masa waktu tersangat sejuk. Hukuman sebat ini juga tidak boleh dijalankan ke atas pesalah-pesalah yang sedang sakit dan perempuan-perempuan yang sedang hamil dan perempuan-perempuan yang sedang kedatangan nifas.

Pesalah-pesalah lelaki tidak perlu ditanggalkan pakaiannya, kecuali boleh ditanggalkan pakaiannya, jika pesalah-pesalah itu memakai pakaian yang tebal pada musim sejuk.

Tujuan Hukuman Sebat

Hukuman sebat bukanlah bertujuan untuk mematikan penjenayah-penjenayah sebagaimana hukuman rejam yang dikenakan ke atas orang-orang yang zina muhsan, tetapi sebenarnya adalah merupakan hukuman untuk menghalang dan mencegah penjenayah melakukan jenayah-jenayah syari’ah dengan berterusan.


Al Faqir Ilallah:
HISHAM MOHAMAD



Setiap Kemudharatan dan Kebaikan Adalah Daripada Allah SWT

Allah SWT berfirman dalam Surah Al An'am ayat 17:

"Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.'

Allah SWT dalam ayat ini menegaskan akan Maha KekuasaanNya iaitu tak ada seorangpun yang dapat melenyapkan suatu kemudaratan yang ditimpakan Tuhan kepada seseorang kecuali Allah sendiri, seperti sakit, kemiskinan, dukacita, kehinaan dan sebagainya yang mengakibatkan penderitaan manusia baik zahir mahupun batin. Maka, bukanlah berhala-berhala, dukun-dukun atau pelindung lainnya selain Allah yang acap kali dipandang oleh orang musyrik, dapat menghilangkan kemudaratan tersebut.

Demikian pula halnya tak ada seorangpun yang dapat mencegah suatu kebaikan yang dianugerahkan Allah kepada seseorang seperti kekayaan, kesihatan, kemuliaan, kekuatan dan sebagainya yang menimbulkan kebahagiaan baik zahir mahupun batin. Allah berkuasa memelihara segala kebaikan itu agar seseorang tetap sebagaimana yang dikehendakiNya.

Mendedahkan Keburukan Seseorang Secara Terang-Terangan

Allah SWT berfirman dalam Surah An Nisa' ayat 148:

"Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Dalam ayat ini, Allah menerangkan bahwa Dia tidak menyukai hambaNya yang melontarkan ucapan-ucapan buruk kepada sesiapapun. Ucapan buruk itu dapat menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara anggota masyarakat dan jika berlarutan dapat menjerumus kepada pengingkaran hak dan pertumpahan darah. Ucapan buruk itu dapat pula mempengaruhi orang-orang yang mendengarnya untuk meniru perbuatan itu, terutama bila perbuatan itu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin.

Jadi Allah tidak menyukai sesuatu itu bererti Allah tidak meredhainya dan tidak memberinya pahala.

Dalam hal ini dikecualikan orang yang dianiaya. Jika seseorang dianiaya, dia diperbolehkan mengadukan orang yang menganiayanya kepada hakim atau kepada orang lain yang dapat memberi pertolongan dalam menghilangkan kezaliman. Jika seseorang dianiaya lalu ia menyampaikan pengaduan, tentu saja pengaduan itu dengan menyebutkan keburukan-keburukan orang yang menganiayanya. Maka dalam hal ini ada dua kemungkinan iaitu,

Pertama: orang yang teraniaya melontarkan ucapan-ucapan buruk terhadap seseorang yang menganiayanya. Hal ini dapat menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kedua belah pihak.

Kedua: bila orang yang dianiaya itu diam saja, maka kezaliman akan tambah memuncak dan keadilan akan lenyap. Kerana itu Allah mengizinkan dalam ayat ini bagi orang-orang yang teraniaya melontarkan ucapan-ucapan dan tuduhan tentang keburukan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh orang yang menganiaya walaupun akan mengakibatkan kebencian, kerana membiarkan penganiayaan adalah lebih buruk akibatnya, sesuai dengan kaedah: ارتكاب أخف الضررين Ertinya: "Memilih yang lebih ringan mudaratnya di antara dua kemudaratan".

Maka wajiblah orang yang dianiaya menyampaikan pengaduannya kepada hakim atau lainnya. Seseorang yang zalim jika tidak diambil tindakan yang tegas terhadapnya akan bertambah luaslah kezalimannya. Tetapi jika tidak ada maksud untuk menghilangkan kezaliman, maka seseorang dilarang keras melontarkan ucapan-ucapan yang buruk. Diperingatkan dalam ayat ini bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui setiap ucapan yang dikeluarkan oleh orang yang zalim dan orang yang dianiaya, terutama jika mereka melampaui batas sampai melontarkan pengaduan yang dusta atau bersifat menghasut dan mengadu domba.

Melakukan Suatu Kesalahan dan Menuduh Orang Lain

Allah SWT berfirman dalam Surah An Nisa' ayat 112:

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kesalahan atau dosa, kemudian dituduhkannya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah berbuat suatu kebohongan dan dosa yang nyata."

Dalam ayat ini Allah menerangkan bahwa barangsiapa melakukan perbuatan dosa dengan tidak disengaja atau melakukannya dengan sengaja, kemudian mereka melemparkan kesalahan itu kepada orang lain dan menuduh orang lain mengerjakannya, sedang ia mengetahui orang lain itu tidak bersalah, maka dia sesungguhnya telah membuat kebohongan yang besar dan akan memikul dosanya.

Sentiasa Mengingati Allah Dalam Apa Jua Keadaan

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali 'Imran ayat 190-194:

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (190)

(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka. (191)

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya barangsiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sungguh telah Engkau hinakan ia, dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolongpun." (192)

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar (seruan) yang menyeru kepada iman, (iaitu): "Berimanlah kamu kepada Tuhanmu", maka kami pun beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan kami, dan wafatkanlah kami beserta orang-orang yang banyak berbakti." (193)

"Ya Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami dengan perantaraan rasul-rasul Engkau. Dan janganlah Engkau hinakan kami di hari kiamat. Sesungguhnya Engkau tidak menyalahi janji." (194)


Setiap Masalah Sesuai Dengan Kesanggupan HambaNya

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." [Surah Al Baqarah Ayat 286]

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1432H

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1432H diucapkan kepada semua sahabat-sahabat, rakan-rakan, kenalan-kenalan, saudara mara, muslimin dan muslimat. Semoga Allah menerima amal ibadah kita semua. Maaf Zahir & Batin.