Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts
Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts

Siapakah manusia terbaik di sisi Allah? Ini jawapan Nabi SAW

Dalam dunia yang serba pantas ini, ramai yang berlumba-lumba untuk jadi yang terbaik sama ada dalam kerjaya, harta, pengaruh, dan macam-macam lagi. Tapi pernah tak kita tanya, siapa sebenarnya manusia yang paling baik di sisi Allah?


Jawapannya telah diberikan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis sahih: 


Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah dari Ayahnya, bahawa seorang laki-laki berkata;

“Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik?”
Nabi SAW menjawab:
“Orang yang panjang umurnya dan baik amalannya.”
Baginda ditanya lagi:
“Siapakah manusia yang paling buruk?”
Nabi menjawab:
“Orang yang panjang umurnya dan buruk amalannya.”
(Musnad Ahmad No: 19519 – Hadis Sahih)


Umur Panjang: Anugerah atau Ujian?

Panjang umur sebenarnya satu nikmat besar, tetapi ia datang dengan tanggungjawab. Setiap hari pertambahan usia dalam hidup kita adalah peluang untuk beramal, berbuat baik, dan mendekatkan diri kepada Allah.


Orang yang terbaik bukanlah yang sekadar hidup lama, tapi yang menggunakan masanya untuk:

  • Solat di awal waktu
  • Menjaga lidah dan akhlak
  • Membantu orang lain
  • Mencari rezeki yang halal
  • Mengajak kepada kebaikan


Sebaliknya, manusia paling buruk ialah mereka yang diberi umur panjang, tapi terus-menerus bergelumang dengan dosa dan maksiat. 


Kesimpulan: Nilai Hidup Bukan pada Tempohnya, Tapi pada Amalannya

Dalam kehidupan, kualiti lebih penting daripada kuantiti. Ukuran kejayaan bukan dari berapa lama kita hidup, tapi sejauh mana kita hidup dengan tujuan dan amal yang ikhlas kerana Allah.


Dipanjangkan usia sepatutnya menjadi peluang untuk mengumpul bekalan akhirat, bukannya untuk lalai, leka dan membuang masa


👉 Mari muhasabah. Apakah amal kita hari ini menjadikan kita manusia yang baik… atau sebaliknya? 

Akhukum fillah;

Ust Hisham Mohamad


solat berjemaah di masjid

Solat fardhu adalah merupakan suatu tuntutan yang wajib bagi setiap individu Muslim dan Muslimah. Pelaksanaan solat fardhu itu boleh dilakukan secara sendirian atau pun berjemaah. Solat berjemaah tidak hanya khusus untuk solat fardhu semata-mata, ada juga solat sunat yang boleh dilakukan secara berjemaah. Dalam artikel ini, kita akan melihat betapa besarnya ganjaran dan kelebihan bagi mereka yang mengerjakan solat secara berjemaah.


Pengertian Solat Berjemaah

Solat berjemaah ialah solat yang dilakukan oleh sekurang-kurangnya dua orang iaitu adanya seorang imam dan seorang makmum.


Hukum Solat Berjemaah

Menurut pendapat Imam As Syafi'i serta para ulama' mazhabnya, hukum solat berjemaah adalah fardhu kifayah. Tetapi, hukum solat Jumaat secara berjemaah adalah fardhu ain (wajib) ke atas lelaki Muslim.


Hadis Kelebihan Solat Berjemaah

hadis kelebihan solat berjemaah

Diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda: 
"Solat yang dikerjakan secara berjemaah adalah lebih besar ganjarannya sebanyak 27 darjat berbanding solat yang dilakukan secara bersendirian." 

 ~ Hadis Muttafaqun 'alaih | Bukhari (645) dan Muslim (650) ~

Sumber rujukan hadis 

Ganjaran dan Kelebihan Solat Berjemaah

  • Mendapat pahala berganda iaitu 27 darjat
    Berjemaah lebih banyak pahala berbanding solat sendirian
  • Jemaah yang ramai mendapat lebih banyak ganjaran
    Solat 3 orang lebih baik berbanding solat 2 orang, dan lebih ramai jemaah adalah lebih baik
  • Ganjaran yang lebih untuk makmum yang bersama-sama Imam sejak dari awal solat
    Tambahan pahala bagi mereka yang sempat takbiratul ihram bersama imam
  • Meningkatkan disiplin hidup seorang Muslim
    Melatih diri seseorang untuk menepati waktu dan mematuhi ketua
  • Membina hubungan yang baik sesama masyarakat
    Saling berkenal-kenalan sesama jemaah mengukuhkan keharmonian


Keuzuran Solat Berjemaah

Walaupun solat berjemaah hukumnya adalah fardhu kifayah, tidaklah bermakna seseorang itu boleh sesuka hati meninggalkannya tanpa keuzuran terutama bagi orang lelaki. Terdapat beberapa keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak berjemaah antaranya ialah:

  • Keadaan cuaca yang terlampau sejuk
  • Cuaca buruk seperti hujan lebat atau ribut
  • Menjaga orang sakit
  • Lapar dan dahaga
  • Adanya ancaman bahaya
  • Sakit atau tidak sihat
  • Keadaan yang terpaksa buang air kecil atau besar


Susunan Saf Ketika Solat Berjemaah

  • Makmum setapak di belakang sebelah kanan imam bagi solat 2 orang lelaki
  • Makmum perempuan hendaklah berdiri di belakang imam lelaki
  • Kanak-kanak lelaki berada di belakang lelaki dewasa dan kanak-kanak perempuan di hadapan perempuan dewasa


Kesimpulan

Terlalu banyak manfaat, kelebihan dan ganjaran bagi mereka yang melazimkan solat berjemaah. Bukan hanya sekadar manfaat akhirat, tetapi banyak juga manfaat dunia. Solat berjemaah secara tidak langsung dapat menyatupadukan kaum Muslimin dan menguatkan jiwa seseorang. Mudah-mudahan kita sama-sama dapat istiqamah dalam menunaikan solat berjemaah ini.


Kongsikan artikel ini dengan sahabat-sahabat yang lain agar lebih ramai dapat manfaat dan galakan.


Oleh:

Akhukum fillah,

Ust Hisham Mohamad

 

Saling Menyayangi Sesama Manusia

Dalam sebuah hadis ada menyatakan:

hadis sayangi sesama manusia

Dari Jarir bin Abdullah berkata, "Rasulullah SAW bersabda: 

"Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia."

~ Riwayat Bukhari, No: 6828 | Hadis Sahih ~


Dalam dunia yang semakin mencabar ini, kasih sayang sesama manusia bukan sekadar nilai moral, tetapi merupakan satu tuntutan agama. Hadis Nabi Muhammad SAW ini memberi peringatan yang jelas bahawa rahmat Allah terikat dengan sejauh mana kita menyayangi orang lain.


Kenapa Kasih Sayang Itu Penting dalam Islam?

Islam ialah agama rahmat. Setiap ajaran dan suruhan dalam Islam membawa mesej kasih sayang dan keadilan. Menyayangi manusia tidak kira bangsa, agama, atau latar belakang adalah tanda hati yang bersih dan jiwa yang dekat dengan Allah.

Allah SWT meletakkan sifat kasih sebagai asas kepada hubungan sesama insan. Bahkan, kasih sayang tidak terhad kepada ahli keluarga atau sahabat, tetapi merangkumi sesiapa sahaja termasuk yang berbeza agama dan pandangan.

“Memberi hak seadilnya kepada orang yang bersama dengan kita, mahupun yang tidak bersama kita.”


Kesan Tidak Menyayangi Sesama Manusia

Tanpa kasih sayang, masyarakat akan menjadi kasar, bersikap zalim, menindas, berbunuh-bunuhan, mementingkan diri, dan kehilangan arah. Lebih malang, individu yang tidak mengasihi orang lain sebenarnya sedang menjauhkan diri daripada kasih sayang Allah.


Bayangkan, kita sibuk mengejar kasih makhluk, tetapi kita lupa bahawa kasih Allah hanya hadir apabila kita mula menyayangi orang lain.


Bagaimana Nak Menjadi Insan Penyayang?

  • 🤝 Bersikap adil dan baik kepada semua, walaupun berbeza latar belakang
  • 🗣️ Jaga lisan, jangan mengumpat atau menyakiti, sekurang-kurangnya dengan senyuman
  • 🎁 Ringankan tangan saling bantu-membantu
  • 📿 Doakan kebaikan untuk orang lain tanpa pengetahuan mereka


Penutup: Mahu Allah Sayang Kita? Sayangilah Manusia

Setiap langkah kebaikan, kata-kata yang lembut, memudahkan orang lain dan apa-apa bantuan walaupun kecil, semua itu adalah benih kasih sayang yang akan membuahkan rahmat dari Allah.


Jangan kedekut kasih sayang. Mungkin senyuman atau bantuan kecil kita hari ini menjadi sebab Allah menurunkan rahmatNya kepada kita esok.

 

"Sesiapa yang tidak menyayangi orang lain, Allah tidak akan menyayanginya."


Oleh:

Akhukum fillah

Ust Hisham Mohamad




 

dosa memulakan celaan

Pernah tak kita terlepas cakap bila tengah marah? Kadang-kadang mulut atau lidah ni boleh jadi 'tajam' sangat bila emosi menguasai diri. Tapi dalam Islam, kita diajar untuk jaga lisan, jangan mudah mencela atau menghina orang lain, walau macam mana marah sekalipun.


Dalam sebuah hadis ada menyatakan,

Hadis dosa memulakan celaan

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata; Rasulullah SAW bersabda:

"Dua orang yang saling mencela, maka dosanya atas orang yang memulainya terlebih dahulu selama yang dizalimi tidak membalasnya."
(Hadis Riwayat Ahmad No: 6907) – Hadis Sahih


Hadis ni sangat jelas. Kalau dua orang saling maki hamun atau mencela, dosa yang utama adalah jatuh atas orang yang memulakan dulu selagi yang kena tu tak membalas balik.


Jangan Jadi Punca Dosa

Kadang-kadang kita fikir, “Ala dia pun sama, dia pun balas aku balik.” Tapi sebenarnya, kalau orang tu tak balas pun, dosa tetap kita yang tanggung kalau kita mulakan.


Itu sebab Islam sangat tekankan adab dan akhlak. Lisan yang tajam boleh menyakitkan lebih dari senjata, dan yang paling malang, ia boleh menyebabkan kita kumpul dosa tanpa sedar.


Sabar Itu Power!

Kalau kita mampu tahan diri daripada membalas hinaan, kita dapat pahala. Bayangkan, orang hina kita, kita diam je, Allah kira sabar tu sebagai satu ganjaran besar. Hebat kan?

Memang bukan mudah nak tahan, tapi orang yang paling kuat bukan yang pandai berlawan, tapi yang boleh kawal marah dan sabar.


Mulut Kita, Tanggungjawab Kita

Jom sama-sama kita usaha untuk:

  • Jaga lidah bila marah
  • Jangan mudah balas bila kena hina
  • Banyakkan doa supaya Allah lembutkan hati kita
  • Belajar untuk maafkan, bukan simpan dendam


Akhir Kata

Tak rugi pun kalau kita berdiam dan bersabar. Akan tetapi, yang rugi, bila kita jadi penyumbang dosa kepada diri sendiri dan orang lain. Jaga lisan, InshaAllah hati pun akan jadi lebih tenang.


Kalau rasa artikel ni bermanfaat, kongsikan dengan keluarga dan kawan-kawan ya. Moga kita semua dapat peringatan yang baik hari ni.


Oleh:

 Akhukum fillah,

 Hisham Mohamad

 Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah 2:275-276:


“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni Neraka; mereka kekal di dalamnya."(275) 


"Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa." (276) 


Akhir zaman ini, rata-rata umat Islam sudah tidak lagi mengenali RIBA. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini. Apa yang seharusnya kita lakukan ialah perlu belajar mengenali dan memahami RIBA. Seterusnya memastikan segala urusan kehidupan kita samada transaksi kewangan, perniagaan, simpanan wang, pelaburan, pinjaman, penjualan atau pembelian kesemuanya mestilah bebas daripada RIBA. 


Antara salah satu sebab mengapa seseorang itu dicampakkan ke dalam neraka ialah kerana terlibat dengan RIBA. 


Mencari yang HALAL itu adalah fardhu bagi setiap Muslim.





Jom! Sertai Kami, Belajar Secara Online
Pendaftaran Dibuka Sepanjang Tahun

JAUHI RIBA!

by on 13 December
 Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah 2:275-276: “Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdir...

 Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah 2:168;

“Hai sekalian manusia, MAKANLAH yang HALAL LAGI BAIK dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (2:168)


Tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim mestilah memastikan setiap makanan yang kita makan adalah Halal dan thoiyyiban iaitu sihat dan tidak memudaratkan tubuh badan. 


Seseorang yang terlibat dengan pemakanan yang tidak Halal, maka akan hilanglah sifat malu dari dalam dirinya dan doanya tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.




Jom! Sertai Kami, Belajar Secara Online
Pendaftaran Dibuka Sepanjang Tahun 

MAKANAN HALALAN THOIYYIBAN

by on 12 December
 Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah 2:168; “Hai sekalian manusia, MAKANLAH yang HALAL LAGI BAIK dari apa yang terdapat di bumi, dan ...

Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah 2:120;

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu." (120)


Ayat ini merupakan peringatan daripada Allah SWT supaya kita sama sekali tidak meniru atau mengikuti telunjuk orang-orang Yahudi dan Nasrani. Sebagai umat Islam, kita ada cara hidup yang tersendiri berdasarkan Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.



Jom! Sertai Kami, Belajar Secara Online
Pendaftaran Dibuka Sepanjang Tahun 
Allah SWT berfirman dalam Surah Al An'am ayat 17:

"Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.'

Allah SWT dalam ayat ini menegaskan akan Maha KekuasaanNya iaitu tak ada seorangpun yang dapat melenyapkan suatu kemudaratan yang ditimpakan Tuhan kepada seseorang kecuali Allah sendiri, seperti sakit, kemiskinan, dukacita, kehinaan dan sebagainya yang mengakibatkan penderitaan manusia baik zahir mahupun batin. Maka, bukanlah berhala-berhala, dukun-dukun atau pelindung lainnya selain Allah yang acap kali dipandang oleh orang musyrik, dapat menghilangkan kemudaratan tersebut.

Demikian pula halnya tak ada seorangpun yang dapat mencegah suatu kebaikan yang dianugerahkan Allah kepada seseorang seperti kekayaan, kesihatan, kemuliaan, kekuatan dan sebagainya yang menimbulkan kebahagiaan baik zahir mahupun batin. Allah berkuasa memelihara segala kebaikan itu agar seseorang tetap sebagaimana yang dikehendakiNya.
Allah SWT berfirman dalam Surah An Nisa' ayat 148:

"Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Dalam ayat ini, Allah menerangkan bahwa Dia tidak menyukai hambaNya yang melontarkan ucapan-ucapan buruk kepada sesiapapun. Ucapan buruk itu dapat menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara anggota masyarakat dan jika berlarutan dapat menjerumus kepada pengingkaran hak dan pertumpahan darah. Ucapan buruk itu dapat pula mempengaruhi orang-orang yang mendengarnya untuk meniru perbuatan itu, terutama bila perbuatan itu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin.

Jadi Allah tidak menyukai sesuatu itu bererti Allah tidak meredhainya dan tidak memberinya pahala.

Dalam hal ini dikecualikan orang yang dianiaya. Jika seseorang dianiaya, dia diperbolehkan mengadukan orang yang menganiayanya kepada hakim atau kepada orang lain yang dapat memberi pertolongan dalam menghilangkan kezaliman. Jika seseorang dianiaya lalu ia menyampaikan pengaduan, tentu saja pengaduan itu dengan menyebutkan keburukan-keburukan orang yang menganiayanya. Maka dalam hal ini ada dua kemungkinan iaitu,

Pertama: orang yang teraniaya melontarkan ucapan-ucapan buruk terhadap seseorang yang menganiayanya. Hal ini dapat menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kedua belah pihak.

Kedua: bila orang yang dianiaya itu diam saja, maka kezaliman akan tambah memuncak dan keadilan akan lenyap. Kerana itu Allah mengizinkan dalam ayat ini bagi orang-orang yang teraniaya melontarkan ucapan-ucapan dan tuduhan tentang keburukan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh orang yang menganiaya walaupun akan mengakibatkan kebencian, kerana membiarkan penganiayaan adalah lebih buruk akibatnya, sesuai dengan kaedah: ارتكاب أخف الضررين Ertinya: "Memilih yang lebih ringan mudaratnya di antara dua kemudaratan".

Maka wajiblah orang yang dianiaya menyampaikan pengaduannya kepada hakim atau lainnya. Seseorang yang zalim jika tidak diambil tindakan yang tegas terhadapnya akan bertambah luaslah kezalimannya. Tetapi jika tidak ada maksud untuk menghilangkan kezaliman, maka seseorang dilarang keras melontarkan ucapan-ucapan yang buruk. Diperingatkan dalam ayat ini bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui setiap ucapan yang dikeluarkan oleh orang yang zalim dan orang yang dianiaya, terutama jika mereka melampaui batas sampai melontarkan pengaduan yang dusta atau bersifat menghasut dan mengadu domba.
Allah SWT berfirman dalam Surah An Nisa' ayat 112:

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kesalahan atau dosa, kemudian dituduhkannya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah berbuat suatu kebohongan dan dosa yang nyata."

Dalam ayat ini Allah menerangkan bahwa barangsiapa melakukan perbuatan dosa dengan tidak disengaja atau melakukannya dengan sengaja, kemudian mereka melemparkan kesalahan itu kepada orang lain dan menuduh orang lain mengerjakannya, sedang ia mengetahui orang lain itu tidak bersalah, maka dia sesungguhnya telah membuat kebohongan yang besar dan akan memikul dosanya.
Allah SWT berfirman dalam Surah Ali 'Imran ayat 190-194:

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (190)

(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka. (191)

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya barangsiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sungguh telah Engkau hinakan ia, dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolongpun." (192)

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar (seruan) yang menyeru kepada iman, (iaitu): "Berimanlah kamu kepada Tuhanmu", maka kami pun beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan kami, dan wafatkanlah kami beserta orang-orang yang banyak berbakti." (193)

"Ya Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami dengan perantaraan rasul-rasul Engkau. Dan janganlah Engkau hinakan kami di hari kiamat. Sesungguhnya Engkau tidak menyalahi janji." (194)


"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." [Surah Al Baqarah Ayat 286]

Di antara sebab mengapa seseorang itu masuk NERAKA adalah kerana memutuskan hubungan silaturrahim.

Ada segelintir masyarakat yang sanggup mengunakan kuasa-kuasa tertentu seperti kuasa atau perintah mahkamah demi memuaskan hawa nafsu kerana keegoan dan kesombongan yang menguasai diri, maka akibatnya terputuslah hubungan silaturrahim antara seorang anak dengan ibunya, atau antara anak dengan bapanya, atau terpisahnya suami dan isteri, atau terputusnya ikatan sesebuah kekeluargaan, saudara mara dan sebagainya.

Justeru, Allah SWT telah mengingatkan kita dengan firmanNya di dalam Al Quran Surah Muhammad ayat 22-23:

"(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan jika kamu dapat memegang kuasa kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat? (22) (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya (23)"

Perbuatan memutuskan silaturrahim ini merupakan dosa besar dan hukumnya adalah Haram serta dilaknat oleh Allah SWT. Sudah tentu perkara yang lebih menakutkan ialah mereka yang terlibat melakukan perbuatan memutuskan silaturrahim ini menyebabkan tidak masuk syurga sepertimana sabda Rasulullah SAW:


“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (Hadits riwayat Muslim)

Selain itu, perbuatan memisahkan ahli keluarga dengan keluarganya yang lain merupakan suatu perbuatan yang zalim. 

"Hadis sohih riwayat at-Tabrani daripada Ma'qal Bin Yasar, baginda bersabda: "Sesiapa yang memisahkan ibu daripada anaknya, maka Allah akan pisahkan (orang yang bertindak demikian) antara dia dengan seluruh anggota yang dikasihinya pada hari kiamat." - Hadis sohih riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan al-Hakim daripada Abu Ayyub.

Allah mengharamkan kezaliman ke atas diriNya. Maka Allah SWT mengingatkan kepada mereka yang melakukan kezaliman dengan firmanNya dalam Surah Hud ayat 113:




"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (113)"

Berdasarkan kepada hadith dan ayat Al Quran di atas, maka marilah kita sama-sama menginsafi dan bermuhasabah diri, pereratkanlah silaturrahim, menyambungkan kembali hubungan kekeluargaan, temukanlah mereka yang dipisahkan, leraikanlah segala persengketaan dan perselisihan. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan orang yang memutuskan silaturrahim dan berbuat zalim.


Al faqir ilallah:
HISHAM MOHAMAD

Sebab Masuk NERAKA

by on 19 June
Di antara sebab mengapa seseorang itu masuk NERAKA adalah kerana memutuskan hubungan silaturrahim. Ada segelintir masyarakat yang ...