Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts
Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts

Siapakah manusia terbaik di sisi Allah? Ini jawapan Nabi SAW

Dalam dunia yang serba pantas ini, ramai yang berlumba-lumba untuk jadi yang terbaik sama ada dalam kerjaya, harta, pengaruh, dan macam-macam lagi. Tapi pernah tak kita tanya, siapa sebenarnya manusia yang paling baik di sisi Allah?


Jawapannya telah diberikan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis sahih: 


Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah dari Ayahnya, bahawa seorang laki-laki berkata;

“Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik?”
Nabi SAW menjawab:
“Orang yang panjang umurnya dan baik amalannya.”
Baginda ditanya lagi:
“Siapakah manusia yang paling buruk?”
Nabi menjawab:
“Orang yang panjang umurnya dan buruk amalannya.”
(Musnad Ahmad No: 19519 – Hadis Sahih)


Umur Panjang: Anugerah atau Ujian?

Panjang umur sebenarnya satu nikmat besar, tetapi ia datang dengan tanggungjawab. Setiap hari pertambahan usia dalam hidup kita adalah peluang untuk beramal, berbuat baik, dan mendekatkan diri kepada Allah.


Orang yang terbaik bukanlah yang sekadar hidup lama, tapi yang menggunakan masanya untuk:

  • Solat di awal waktu
  • Menjaga lidah dan akhlak
  • Membantu orang lain
  • Mencari rezeki yang halal
  • Mengajak kepada kebaikan


Sebaliknya, manusia paling buruk ialah mereka yang diberi umur panjang, tapi terus-menerus bergelumang dengan dosa dan maksiat. 


Kesimpulan: Nilai Hidup Bukan pada Tempohnya, Tapi pada Amalannya

Dalam kehidupan, kualiti lebih penting daripada kuantiti. Ukuran kejayaan bukan dari berapa lama kita hidup, tapi sejauh mana kita hidup dengan tujuan dan amal yang ikhlas kerana Allah.


Dipanjangkan usia sepatutnya menjadi peluang untuk mengumpul bekalan akhirat, bukannya untuk lalai, leka dan membuang masa


👉 Mari muhasabah. Apakah amal kita hari ini menjadikan kita manusia yang baik… atau sebaliknya? 

Akhukum fillah;

Ust Hisham Mohamad


solat berjemaah di masjid

Solat fardhu adalah merupakan suatu tuntutan yang wajib bagi setiap individu Muslim dan Muslimah. Pelaksanaan solat fardhu itu boleh dilakukan secara sendirian atau pun berjemaah. Solat berjemaah tidak hanya khusus untuk solat fardhu semata-mata, ada juga solat sunat yang boleh dilakukan secara berjemaah. Dalam artikel ini, kita akan melihat betapa besarnya ganjaran dan kelebihan bagi mereka yang mengerjakan solat secara berjemaah.


Pengertian Solat Berjemaah

Solat berjemaah ialah solat yang dilakukan oleh sekurang-kurangnya dua orang iaitu adanya seorang imam dan seorang makmum.


Hukum Solat Berjemaah

Menurut pendapat Imam As Syafi'i serta para ulama' mazhabnya, hukum solat berjemaah adalah fardhu kifayah. Tetapi, hukum solat Jumaat secara berjemaah adalah fardhu ain (wajib) ke atas lelaki Muslim.


Hadis Kelebihan Solat Berjemaah

hadis kelebihan solat berjemaah

Diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda: 
"Solat yang dikerjakan secara berjemaah adalah lebih besar ganjarannya sebanyak 27 darjat berbanding solat yang dilakukan secara bersendirian." 

 ~ Hadis Muttafaqun 'alaih | Bukhari (645) dan Muslim (650) ~

Sumber rujukan hadis 

Ganjaran dan Kelebihan Solat Berjemaah

  • Mendapat pahala berganda iaitu 27 darjat
    Berjemaah lebih banyak pahala berbanding solat sendirian
  • Jemaah yang ramai mendapat lebih banyak ganjaran
    Solat 3 orang lebih baik berbanding solat 2 orang, dan lebih ramai jemaah adalah lebih baik
  • Ganjaran yang lebih untuk makmum yang bersama-sama Imam sejak dari awal solat
    Tambahan pahala bagi mereka yang sempat takbiratul ihram bersama imam
  • Meningkatkan disiplin hidup seorang Muslim
    Melatih diri seseorang untuk menepati waktu dan mematuhi ketua
  • Membina hubungan yang baik sesama masyarakat
    Saling berkenal-kenalan sesama jemaah mengukuhkan keharmonian


Keuzuran Solat Berjemaah

Walaupun solat berjemaah hukumnya adalah fardhu kifayah, tidaklah bermakna seseorang itu boleh sesuka hati meninggalkannya tanpa keuzuran terutama bagi orang lelaki. Terdapat beberapa keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak berjemaah antaranya ialah:

  • Keadaan cuaca yang terlampau sejuk
  • Cuaca buruk seperti hujan lebat atau ribut
  • Menjaga orang sakit
  • Lapar dan dahaga
  • Adanya ancaman bahaya
  • Sakit atau tidak sihat
  • Keadaan yang terpaksa buang air kecil atau besar


Susunan Saf Ketika Solat Berjemaah

  • Makmum setapak di belakang sebelah kanan imam bagi solat 2 orang lelaki
  • Makmum perempuan hendaklah berdiri di belakang imam lelaki
  • Kanak-kanak lelaki berada di belakang lelaki dewasa dan kanak-kanak perempuan di hadapan perempuan dewasa


Kesimpulan

Terlalu banyak manfaat, kelebihan dan ganjaran bagi mereka yang melazimkan solat berjemaah. Bukan hanya sekadar manfaat akhirat, tetapi banyak juga manfaat dunia. Solat berjemaah secara tidak langsung dapat menyatupadukan kaum Muslimin dan menguatkan jiwa seseorang. Mudah-mudahan kita sama-sama dapat istiqamah dalam menunaikan solat berjemaah ini.


Kongsikan artikel ini dengan sahabat-sahabat yang lain agar lebih ramai dapat manfaat dan galakan.


Oleh:

Akhukum fillah,

Ust Hisham Mohamad

 

Saling Menyayangi Sesama Manusia

Dalam sebuah hadis ada menyatakan:

hadis sayangi sesama manusia

Dari Jarir bin Abdullah berkata, "Rasulullah SAW bersabda: 

"Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia."

~ Riwayat Bukhari, No: 6828 | Hadis Sahih ~


Dalam dunia yang semakin mencabar ini, kasih sayang sesama manusia bukan sekadar nilai moral, tetapi merupakan satu tuntutan agama. Hadis Nabi Muhammad SAW ini memberi peringatan yang jelas bahawa rahmat Allah terikat dengan sejauh mana kita menyayangi orang lain.


Kenapa Kasih Sayang Itu Penting dalam Islam?

Islam ialah agama rahmat. Setiap ajaran dan suruhan dalam Islam membawa mesej kasih sayang dan keadilan. Menyayangi manusia tidak kira bangsa, agama, atau latar belakang adalah tanda hati yang bersih dan jiwa yang dekat dengan Allah.

Allah SWT meletakkan sifat kasih sebagai asas kepada hubungan sesama insan. Bahkan, kasih sayang tidak terhad kepada ahli keluarga atau sahabat, tetapi merangkumi sesiapa sahaja termasuk yang berbeza agama dan pandangan.

“Memberi hak seadilnya kepada orang yang bersama dengan kita, mahupun yang tidak bersama kita.”


Kesan Tidak Menyayangi Sesama Manusia

Tanpa kasih sayang, masyarakat akan menjadi kasar, bersikap zalim, menindas, berbunuh-bunuhan, mementingkan diri, dan kehilangan arah. Lebih malang, individu yang tidak mengasihi orang lain sebenarnya sedang menjauhkan diri daripada kasih sayang Allah.


Bayangkan, kita sibuk mengejar kasih makhluk, tetapi kita lupa bahawa kasih Allah hanya hadir apabila kita mula menyayangi orang lain.


Bagaimana Nak Menjadi Insan Penyayang?

  • 🤝 Bersikap adil dan baik kepada semua, walaupun berbeza latar belakang
  • 🗣️ Jaga lisan, jangan mengumpat atau menyakiti, sekurang-kurangnya dengan senyuman
  • 🎁 Ringankan tangan saling bantu-membantu
  • 📿 Doakan kebaikan untuk orang lain tanpa pengetahuan mereka


Penutup: Mahu Allah Sayang Kita? Sayangilah Manusia

Setiap langkah kebaikan, kata-kata yang lembut, memudahkan orang lain dan apa-apa bantuan walaupun kecil, semua itu adalah benih kasih sayang yang akan membuahkan rahmat dari Allah.


Jangan kedekut kasih sayang. Mungkin senyuman atau bantuan kecil kita hari ini menjadi sebab Allah menurunkan rahmatNya kepada kita esok.

 

"Sesiapa yang tidak menyayangi orang lain, Allah tidak akan menyayanginya."


Oleh:

Akhukum fillah

Ust Hisham Mohamad




 

dosa memulakan celaan

Pernah tak kita terlepas cakap bila tengah marah? Kadang-kadang mulut atau lidah ni boleh jadi 'tajam' sangat bila emosi menguasai diri. Tapi dalam Islam, kita diajar untuk jaga lisan, jangan mudah mencela atau menghina orang lain, walau macam mana marah sekalipun.


Dalam sebuah hadis ada menyatakan,

Hadis dosa memulakan celaan

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata; Rasulullah SAW bersabda:

"Dua orang yang saling mencela, maka dosanya atas orang yang memulainya terlebih dahulu selama yang dizalimi tidak membalasnya."
(Hadis Riwayat Ahmad No: 6907) – Hadis Sahih


Hadis ni sangat jelas. Kalau dua orang saling maki hamun atau mencela, dosa yang utama adalah jatuh atas orang yang memulakan dulu selagi yang kena tu tak membalas balik.


Jangan Jadi Punca Dosa

Kadang-kadang kita fikir, “Ala dia pun sama, dia pun balas aku balik.” Tapi sebenarnya, kalau orang tu tak balas pun, dosa tetap kita yang tanggung kalau kita mulakan.


Itu sebab Islam sangat tekankan adab dan akhlak. Lisan yang tajam boleh menyakitkan lebih dari senjata, dan yang paling malang, ia boleh menyebabkan kita kumpul dosa tanpa sedar.


Sabar Itu Power!

Kalau kita mampu tahan diri daripada membalas hinaan, kita dapat pahala. Bayangkan, orang hina kita, kita diam je, Allah kira sabar tu sebagai satu ganjaran besar. Hebat kan?

Memang bukan mudah nak tahan, tapi orang yang paling kuat bukan yang pandai berlawan, tapi yang boleh kawal marah dan sabar.


Mulut Kita, Tanggungjawab Kita

Jom sama-sama kita usaha untuk:

  • Jaga lidah bila marah
  • Jangan mudah balas bila kena hina
  • Banyakkan doa supaya Allah lembutkan hati kita
  • Belajar untuk maafkan, bukan simpan dendam


Akhir Kata

Tak rugi pun kalau kita berdiam dan bersabar. Akan tetapi, yang rugi, bila kita jadi penyumbang dosa kepada diri sendiri dan orang lain. Jaga lisan, InshaAllah hati pun akan jadi lebih tenang.


Kalau rasa artikel ni bermanfaat, kongsikan dengan keluarga dan kawan-kawan ya. Moga kita semua dapat peringatan yang baik hari ni.


Oleh:

 Akhukum fillah,

 Hisham Mohamad

 Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah 2:275-276:


“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni Neraka; mereka kekal di dalamnya."(275) 


"Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa." (276) 


Akhir zaman ini, rata-rata umat Islam sudah tidak lagi mengenali RIBA. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini. Apa yang seharusnya kita lakukan ialah perlu belajar mengenali dan memahami RIBA. Seterusnya memastikan segala urusan kehidupan kita samada transaksi kewangan, perniagaan, simpanan wang, pelaburan, pinjaman, penjualan atau pembelian kesemuanya mestilah bebas daripada RIBA. 


Antara salah satu sebab mengapa seseorang itu dicampakkan ke dalam neraka ialah kerana terlibat dengan RIBA. 


Mencari yang HALAL itu adalah fardhu bagi setiap Muslim.





Jom! Sertai Kami, Belajar Secara Online
Pendaftaran Dibuka Sepanjang Tahun

JAUHI RIBA!

by on 13 December
 Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah 2:275-276: “Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdir...