Ada seorang hamba Allah, dia bersiar-siar di tepi hutan, menikmati udara segar. Tiba-tiba, dia terdengar bunyi yang menakutkan, "aauuummmmm!" Bunyi harimau yang kelaparan. Si hamba Allah panik dan terus berlari menyelamatkan diri. Harimau itu mengejarnya ke mana sahaja dia pergi.
Dalam kepanikan, dia berdoa kepada Allah untuk keselamatan. Dengan kuasa Allah, dia terlihat sebatang sungai di hadapannya. Tanpa berfikir panjang, dia melompat sambil bergayut pada tali yang ada pada pokok berhampiran sungai tersebut. Namun, tali itu pendek sahaja, membuatkan dia tergantung di tengah-tengahnya antara pokok dan sungai. Di atas, harimau yang lapar menunggunya.
Sedang dia mencari jalan keluar, dia mendengar bunyi kocakan air di dalam sungai. Dengan penuh ketakutan, dia melihat ada dua ekor buaya kelaparan di bawah. Di atas ada harimau, di bawah ada buaya, membuatkan dia semakin risau dan takut.
Tiba-tiba, seekor tikus putih muncul dari celah-celah pokok dan naik ke atas, menggigit tali tempat si hamba Allah bergayut. Tidak lama kemudian, seekor tikus hitam pula muncul dan melakukan perkara yang sama. Tali itu semakin reput dan si hamba Allah bertambah risau akan nasibnya.
Sedang dia berfikir mencari jalan keluar, tiba-tiba terdengar bunyi lebah membawa madu. Si hamba Allah mendongak ke atas dan melihat lebah tersebut. Setitik madu jatuh ke dalam mulutnya. Punyalah nikmat madu itu sehingga dia lupa seketika akan harimau dan buaya yang menantinya.
Hamba Allah itu berkata, "Fuh, manisnya madu ni. Tak pernah ku rasa manis sebegini. Subhanallah, sungguh sedap."
Kerana setitik madu itu, si hamba Allah lupa pada bahaya yang mengintainya. Kisah ini adalah pengajaran bagi kita semua.
Harimau yang mengejar itu adalah maut yang sentiasa menghampiri kita. Dua ekor buaya itu adalah malaikat Munkar dan Nakir yang menanti kita di alam kubur. Tali tempat si hamba bergayut adalah jangka hayat kita. Tikus putih dan hitam adalah siang dan malam yang menghakis umur kita. Setitik madu yang jatuh itu adalah nikmat dunia. Bayangkan, hanya kerana setitik nikmat, kita lupa akan maut dan alam akhirat.
Ingatlah Allah selalu, bukan hanya ketika susah sahaja. Astaghfirullah.