ZINA bahagian I: Pengenalan


ZINA merupakan persetubuhan yang dilakukan oleh seseorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara’ (bukan pasangan suami isteri) dan kedua-duanya orang yang mukallaf dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam taklif ‘wati’ syubhat’ (persetubuhan yang meragukan).

Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan dengan seorang perempuan, dan lelaki itu menyangka bahawa perempuan yang disetubuhinya itu ialah isterinya, sedangkan perempuan itu bukan isterinya, atau lelaki tadi menyangka bahawa perkahwinannya dengan perempuan yang disetubuhinya itu sah mengikut hukum syara’ sedangkan sebenarnya perkahwinan mereka itu tidak sah, maka dalam kes ini, kedua-dua orang itu tidak boleh didakwa di bawah kes zina dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud kerana persetubuhan mereka itu adalah termasuk dalam ‘wati’ syubhat’ iaitu persetubuhan yang meragukan.

Mengikut peruntukan hukum syara’ yang disebutkan di dalam Al Quran dan hadith dan yang dikuatkuasakan dalam undang-undang qanun jenayah syariah bahawa orang yang melakukan perzinaan itu apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, iaitu disebat sebanyak seratus kali sebat. Firman Allah SWT dalam surah An Nuur ayat 3.

Maksudnya:
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan hukum seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.”

Lelaki atau perempuan yang melakukan ‘zina muhsan’ wajib dikenakan ke atas mereka hukuman had (rejam), iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati.

Lelaki atau perempuan yang melakukan ‘zina ghairu muhsan’ wajib dikenakan ke atas mereka hukum sebat seratus kali sebat dan buang negeri selama setahun.

Zina terbahagi kepada 2 jenis.
1.  Zina muhsan, iaitu lelaki atau perempuan yang telah pernah melakukan persetubuhan yang halal (sudah pernah berkahwin).

2. Zina ghairu muhsan, iaitu lelaki atau perempuan yang belum pernah melakukan persetubuhan yang halal (belum pernah berkahwin).

Hukum yang dikenakan ke atas orang yang zina muhsan dan ghairu muhsan adalah berdalilkan nas-nas berikut:

1. Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas katanya:

“Saidina Umar (khalifah Islam yang kedua) telah berkata dalam ceramahnya:sesungguhnya Allah Ta’ala telah membangkitkan (mengutus)Nabi Muhammad saw dengan sebenarnya dan menurunkan kepadanya kitab (Al Quran). Maka adalah di antara ayat-ayat yang diturunkan itu ialah ayat rejam. Kami telah membaca dan menghafaznya dan Rasulullah saw telah merejam orang yang berzina, dan kami juga telah menjalankan hukuman rejam. Sesungguhnya aku sangat-sangat takut di belakang hari nanti andainya ada orang yang berkata : Hukuman rejam itu tidak ada dalam kitab Allah (Al Quran), maka dengan itu, mereka akan sesat disebabkan meninggalkan kewajipan yang telah diturunkan Allah. Maka hukuman rejam itu hak sebenarnya atas mereka yang berzina, lelaki dan perempuan apabila zina muhsan, apabila ada saksi atau mengandung atau ia mengaku melakukan perzinaan.”                                                          
(Riwayat Syaikhan, Abu Daud, Tarmizi & Nasaai)

2. Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:

“Seorang lelaki (Ma’iz Al Islami) datang mengadap Rasulullah saw yang sedang berada di masjid maka ia memanggil baginda lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berzina, maka baginda berpaling daripadanya sehingga lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Kemudian apabila lelaki tadi membawa empat orang saksi ke atas dirinya, maka Rasulullah saw memanggilnya lalu bertanya: Adakah engkau gila. Rasulullah saw bertanya lagi.  Adakah engkau telah muhsan? Lelaki tadi menjawab: Ya, aku telah muhsan, lalu Rasulullah saw bersabda:Pergilah kamu semua dengannya dan rejamlah ia.”                                                                                                               
(Riwayat Muslim)

3. Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin Al Somit daripada Nabi SAW sabdanya:

“Ambillah oleh kamu peraturan daripada ku. Ambillah oleh kamu peraturan daripada ku. Sesungguhnya Allah telah memberikan jalan untuk mereka. Perawan dan jejaka (yang melakukan perzinaan), hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda sama janda (berzina) hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat dan direjam).”
(Riwayat Muslim dan Abu Daud)




Al Faqir Ilallah:
HISHAM MOHAMAD

1 comment: