Orang Yang Berlagak Itu Sebenarnya LEMAH!
Dalam kehidupan bersosial atau bermasyarakat, kita tidak
akan lari dari terjumpa atau berjumpa dengan individu atau mempunyai kawan yang
suka membesar-besarkan diri sendiri, pendek kata suka berlagak atau sombong.
Ciri-ciri yang biasa kita nampak ialah mereka ini suka bercakap besar atau
berdegar-degar, suka memperlekehkan orang lain, mengkritik dengan tujuan untuk
menjatuhkan seseorang, memuji diri sendiri, bersikap defensive, suka
berbohong, tidak suka menerima pandangan orang lain, selalu menceritakan
sesuatu yang diidam-idamkannya walaupun perkara itu mustahil untuk dicapai,
suka mengawal orang lain dan cepat marah.
Apabila kita berdepan dengan individu sebegini, kebiasaannya
hati kita akan terdetik mengatakan “asyik-asyik nak dengar cakap dia
je!”,”dia ingat dia seorang je ke yang betul?”, “sikit-sikit nak marah orang!”.
Memang tidak dapat dinafikan, sikap dan tingkahlaku seseorang yang berlagak
dan suka marah-marah ini akan memberi impak psikologi terhadap emosi dan
pemikiran kita samada secara langsung ataupun tidak.
Orang yang berlagak itu pada hakikatnya mereka adalah tergolong
dalam golongan orang yang lemah. Oleh kerana, antara ciri-ciri orang yang
berlagak itu adalah suka memarahi orang lain terutama di depan khalayak ramai,
maka telah disebut dalam satu hadith yang bermaksud; Dari Abu Hurairah r.a
bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling kuat bukanlah orang yang
tidak dapat dikalahkan oleh orang lain, tetapi orang yang paling kuat adalah
orang yang dapat menguasai dirinya ketika ia sedang marah.” Hadith Riwayat
Muslim – 4723
Berdasarkan konsepsi hadith ini, jelas menunjukkan bahawa
seseorang yang tidak mampu mengawal marahnya adalah merupakan orang yang tidak
kuat atau lemah.
Dalam ilmu psikologi, orang yang berlagak itu sering
menggunakan salah satu teknik self-presentation iaitu intimidation
samada secara sedar mahupun tidak. Intimidation atau intimidasi digunakan
untuk membangkitkan rasa takut pada orang lain dengan membentuk imej sebagai
individu yang digeruni supaya orang lain mengikutinya. Tambahan itu, intimidasi
juga boleh digunakan secara positif atau pun negatif berdasarkan kepada situasi
dan tujuan tertentu. Jika seseorang itu menggunakan teknik ini ke arah yang
negatif maka akan jadilah ia seorang yang berlagak sombong, suka marah-marah,
bengis, merasakan diri bagus dan yang akhirnya akan menjerumuskan dirinya ke
arah kehancuran.
Persoalannya, bagaimana caranya untuk kita menghadapi
individu seperti ini? Terdapat beberapa cara antaranya ialah bersikap tenang
beserta senyuman ketika menghadapinya, cuba sedaya upaya untuk tidak terkesan
dengan kata-kata yang dilontarkan oleh mereka dengan cara berfikir secara
rasional, siapkan hujah yang bernas dalam fikiran tetapi jangan berdebat,
biarkan mereka meluahkan segala-galanya apa yang ingin diperkatakan, elakkan
dari terpengaruh dengan gaya komunikasi dan tuturkata mereka dan sama sekali
jangan beremosional.
Selain itu, antara kelemahan orang yang berlagak ini
ialah mereka sering mengungkapkan sesuatu yang tidak rasional dan memutarbelit
sesuatu perkara. Mengapa perkara ini berlaku? Hal ini terjadi kerana minda
mereka sudah dipengaruhi oleh nafsu, maka akal sudah tidak lagi berfungsi untuk
berfikir secara positif. Oleh sebab itu, mereka tidak boleh menerima pandangan
dan sering menyalahkan orang lain.
Dari aspek perubatan Thibbun Nabawy, Ibnu Qayyim
Al Jauziyyah menyebut bahawa penyakit itu terbahagi kepada dua iaitu penyakit
fizikal dan hati. Justeru, orang yang berlagak ini boleh dikategorikan sebagai
orang yang mengalami penyakit hati yang kronik.
Allah SWT telah berfirman di dalam Al Quran Surah Al Baqarah ayat 10
yang bermaksud: “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah
penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.”
Konklusinya, apa yang paling penting adalah bukan kita hanya sekadar melihat akan perilaku orang lain, tapi sentiasa bermuhasabah diri, apakah kita ini termasuk dalam golongan orang yang berlagak dan lemah ini? Bagi mengelakkannya, hendaklah kita belajar berfikir secara rasional dan tidak emosional, senyum selalu, menilai kelemahan diri sendiri atau bersifat tawaddhu', menanamkan sifat kehambaan kepada Allah SWT, janganlah kita menganggap apa yang kita fikir betul kesemuanya, bersedia untuk dikritik, menghormati pendapat dan terimalah nasihat serta pandangan orang lain.
Al faqir ilallah:
HISHAM MOHAMAD
Jom! Sertai Kami, Belajar Secara Online
Pendaftaran Dibuka Sepanjang Tahun
susah jika berteman org macam nie! Terlalu mendongak ke langit & angkuh untuk terima pendapat org lain. Urmmmm....
ReplyDeleteSalam, apakah ayat AlQuran atau doa yg sesuai utk dibaca pada org yg sering marah dan setiap kali bercakap adalah menengking dan sentiasa dlm keadaan 'stress'? Terima kasih
ReplyDelete