Siapakah Yang Paling BAHAGIA?

Dikisahkan terdapat empat sahabat iaitu BMW 7 Series, Viva, Motosikal dan Penumpang Bas. Empat sahabat ini merupakan pengguna jalanraya di bandaraya Kuala Lumpur. Setiap hari mereka akan pergi kerja bersama dan pulang kerja bersama pada waktu yang sama juga iaitu pagi dan petang. Justeru, mereka saling bertemu di tengah-tengah jalanraya.

Suatu hari, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, Viva telah bertemu dengan sahabatnya BMW 7 Series yang cantik dan bergaya.

"Wah selesanya kamu, tentu kamu merasa bahagia sekali kan...?" Tegur Viva.

"Ya, aku merasa sangat bahagia, ruangku yang luas, kusyenku yang empuk, enjinku yang hebat membuatkan perjalananku menjadi lancar dan aku rasa selesa sekali." Jawab BMW 7 Series dengan bangganya.

Viva berangan seketika sambil berkata dalam hati, "alangkah bagusnya kalau aku dapat menjadi seperti BMW 7 Series, sudah tentu aku merasa bahagia."

Lebih kurang 10 minit, perjalanan dua sahabat ini menjadi terhenti kerana mereka telah tersangkut dalam kesesakan lalulintas dan BMW 7 Series berada di sebelah Viva. Kedua-duanya tidak dapat bergerak. Masing-masing merasa gelisah dan mula melihat jam kerana ditakuti terlewat sampai ke tempat kerja.

Dalam keadaan mereka yang sedang keluh kesah itu, tiba-tiba muncul sahabat mereka iaitu Motosikal yang sedang menyelit-nyelit di tengah-tengah kesesakan jalanraya dan terus melintasi mereka berdua dengan laju sekali sambil mengangkat tangan dan berkata dengan tersenyum,

"sekarang akulah yang paling bahagia, selamat tinggal kawan-kawanku."

Viva dan BMW 7 Series mula merasa sedih dan masing-masing terfikir, "alangkah baiknya kalau dapat menjadi seperti Motosikal, dapat memintas waktu dengan bahagia sekali."

Oleh kerana kesesakan jalanraya yang teruk, maka Viva memberi isyarat untuk masuk ke sebuah persimpangan kecil di hadapan. BMW 7 Series pun turut mengikuti sahabatnya Viva. Persimpangan kecil ini hanya muat untuk sebuah Viva yang berbadan kecil sahaja, maka tertinggallah BMW 7 Series tidak boleh buat apa-apa kerana tubuhnya yang besar.

Sambil tersenyum, Viva berkata, "aku bangga dengan tubuh badanku yang kecil ini, sekarang akulah yang paling bahagia, selamat tinggal sahabatku BMW 7 Series."

Sekarang tinggallah BMW 7 Series termanggu sendirian di tengah-tengah kesesakan lalulintas itu dan dia merasa amat sedih sekali kerana semua kawan-kawannya telah meninggalkannya. Sudah tidak ada bahagia lagi dalam hidupnya, masa terus berlalu, tentu dia akan sampai lewat ke tempat kerjanya.

Semasa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, sekali lagi Viva bertemu dengan sahabatnya BMW 7 Series dan ketika itu hujan turun dengan lebat sekali.

Pada masa itu, mereka ternampak sahabat mereka iaitu Motosikal yang terpaksa berhenti berteduh di bawah jambatan. Sambil tersenyum, Viva dan BMW 7 Series pun berkata,

"kasihannya Motosikal, tak dapat meneruskan perjalanan, walaupun hujan lebat, kami tetap boleh teruskan perjalanan kerana kami mempunyai bumbung, saat ini kamilah yang paling bahagia."

Belum pun mereka merasa cukup bahagia, sekali lagi mereka tersangkut dalam kesesakan lalulintas. Rupa-rupanya jalanraya telah dinaiki air dan banjir telah berlaku. Viva dan BMW 7 Series mula risau, ditakuti air masuk ke dalam enjin mereka.

Tiba-tiba muncul sebuah bas yang membawa Penumpang-Penumpang Bas melintasi mereka. Tubuh badan bas yang besar dan tinggi memberi kelebihan kepada bas untuk terus meredah banjir dengan tenang sekali.

Maka berkatalah Penumpang-Penumpang Bas, "walaupun kami tiada kenderaan, setiap hari kami hanya menaiki bas, kami tidak perlu risau tentang kenderaan kami, maka saat ini kamilah yang paling bahagia."

PENGAJARAN:

KEBAHAGIAAN itu adalah hak milik ALLAH. ALLAH berhak memberi kebahagiaan kepada sesiapa sahaja yang DIA kehendaki tidak kiralah siapapun mereka samada ia miskin, kaya, cacat atau apa pun statusnya dalam masyarakat, jika ALLAH memberikannya kebahagiaan, sudah tentu ia akan merasa bahagia. Walaupun seseorang itu kaya, mewah dan hidup selesa, jika ALLAH tidak beri kebahagiaan kepadanya, ia tetap tidak akan merasa bahagia malah mungkin jauh lebih sengsara daripada orang miskin.

Kekayaan dan Kemewahan hidup tidak menjamin kebahagiaan seseorang.

Oleh kerana, KEBAHAGIAAN itu adalah hak milik ALLAH, maka sudah tentu orang yang paling BAHAGIA dalam dunia ini ialah orang yang paling dekat dirinya dengan ALLAH dan RASULNYA.

Oleh:
HISHAM MOHAMAD

No comments:

Post a Comment