Telah dikisahkan pada suatu ketika dulu, terdapat sekumpulan pelajar perempuan dari sebuah Institut Pengajian Tinggi telah membuat rombongan melawat ke suatu tempat yang agak jauh di kawasan pedalaman. Tujuan mereka membuat lawatan itu adalah untuk mencari dan mengenal spesies tumbuh-tumbuhan untuk dibuat kajian.
Setelah sampai di tempat itu, maka bertebaranlah para pelajar ini mencari tumbuh-tumbuhan yang mereka kehendaki. Seharian mereka berada di sana sejak dari awal pagi sehinggalah ke lewat petang.
Apabila waktu sudah petang, maka berkumpullah para pelajar ini untuk berangkat pulang. Selepas semua pelajar menaiki bas, maka bas pun mula bergerak. Oleh kerana terlampau penat, tiada siapa pun yang memeriksa bilangan pelajar yang menaiki bas itu. Tanpa disedari sebenarnya mereka telah meninggalkan salah seorang pelajar di tempat itu sedangkan mereka sudah jauh dalam perjalanan.
Pelajar perempuan yang tertinggal ini duduklah ia bersendirian dengan penuh kesedihan sambil menangis teresak-esak setelah puas dia berjalan mencari rakan-rakannya. Dia telah terpisah dengan rakan-rakannya ketika sedang asyik dan leka mencari tumbuh-tumbuhan.
Hari semakin malam dan tempat itu sangat sunyi kerana tiada sebuah rumah pun kelihatan di situ. Pelajar ini terus menguatkan semangat berjalan dan mencari-cari sekiranya terdapat tempat perlindungan.
Setelah berjalan-jalan dan tercari-cari dalam gelap, akhirnya dia ternampak sebuah rumah kecil berada di penghujung jalan.
Dalam hatinya terdetik, “Aku sudah tiada pilihan, di sinilah tempat untuk aku menginap pada malam ini.”
Dia memberanikan diri mengetuk pintu rumah itu beberapa kali sambil memberi salam. Selepas beberapa ketika, pintu rumah itu pun dibuka sambil si penghuni rumah menjawab salam. Amat mengejutkan si mahasiswi ini kerana yang tercegat di muka pintu itu adalah seorang lelaki muda. Oleh kerana keadaan terdesak, maka pelajar ini meminta izin untuk menumpang di rumah pemuda itu.
“Maaf saudara, sebenarnya saya telah terpisah dengan rakan-rakan saya dan mereka telah meninggalkan saya sejak petang tadi, sekarang hari sudah lewat malam, bolehkah saya menumpang di rumah saudara hanya untuk 1 malam ini sahaja? InsyaAllah, esok saya akan berusaha untuk pulang.” Kata si pelajar itu tersipu-sipu.
“Ya silakan, tapi saya minta maaf kerana rumah saya kecil dan sempit, cik boleh tidur di tempat saya dan saya boleh tidur di tempat yang lain.” Jawab si pemuda itu dengan jujur.
Pelajar perempuan itu pun masuk ke dalam rumah dan melihat-lihat di dalamnya. Ternyata rumah itu sangat dhaif, tiada sebarang lampu atau hiasan rumah melainkan hanya sebuah pelita buruk yang menerangi kegelapan malam.
Sepanjang malam itu, masing-masing diam seribu bahasa tanpa berbicara sepatah pun. Si pelajar perempuan itu tidak tidur kerana berasa takut dan khuatir sekiranya diapa-apakan oleh pemuda yang tidak dikenalinya itu. Dalam keadaan berselimut dia hanya asyik memandang gelagat si pemuda itu yang juga tidak tidur, malah sedang duduk sambil memandang pelita.
Selepas beberapa lama, tiba-tiba pemuda itu membakar salah satu jarinya. Maka, bertambah takutlah si pelajar perempuan tadi dan bertanya dalam hatinya, “Ahh, adakah pemuda ini seorang yang gila?”
Kemudian pemuda itu terus membakar jarinya yang kedua sehinggalah masuk waktu Subuh dan akhirnya kesemua jari jemarinya telah terbakar.
Apabila cuaca pagi mula cerah, datanglah rombongan rakan-rakan si pelajar perempuan bersama bapanya ke rumah pemuda itu dan mereka dapati mahasiswi itu berada di situ.
Setelah bapa perempuan itu melihat ada seorang pemuda bersamanya, tanpa berfikir panjang, dengan nada yang kasar dan marah terus bertanya kepada si pemuda itu,
“Adakah engkau telah melakukan sesuatu yang buruk terhadap anak aku?”
Belum pun si pemuda itu sempat menjawab, mahasiswi itu terlebih dulu mencelah,
“Tidak ayah, dia tidak melakukan apa-apa terhadap aku.”
“Kalau tidak ada apa-apa, mengapa tangan engkau berbalut?” Tanya si bapa dengan kasarnya.
Maka jawablah si pemuda itu dengan jujurnya,
“Maaf pakcik, sesungguhnya aku ini seorang lelaki, tidak dinafikan aku ini mempunyai nafsu dan syahwat, memang aku ada terlintas di hatiku untuk melakukan sesuatu yang buruk terhadap anak pakcik, setiap kali hatiku terdetik untuk melakukan perkara yang buruk itu, maka aku bakar jari-jemariku ini agar terpadam nafsu dan hasrat keji aku itu sehinggalah masuk waktu Subuh, jadi semua jariku ini telah terbakar, sebab itulah aku membalutnya.”
Tersentak si bapa mendengar penjelasan pemuda itu. Dia meminta maaf kerana bersikap kasar tanpa siasat terlebih dahulu. Oleh kerana terpikat dengan kesolehan pemuda itu, si bapa memutuskan untuk mengahwinkan anak perempuannya dengan pemuda itu.
Subhanallah! Demikianlah kisah pemuda yang soleh.
Kisah ini diceritakan semula secara bebas oleh HISHAM MOHAMAD. Terima kasih kepada penulis asal kisah ini yang tidak diketahui.
Membakar Jari Jemari
by
elmufeed
on
05 June
Telah dikisahkan pada suatu ketika dulu, terdapat sekumpulan pelajar perempuan dari sebuah Institut Pengajian Tinggi telah membuat rombo...