ZINA bahagian II: Bukti-Bukti Untuk Mensabitkan Kesalahan Zina
Kesalahan zina adalah suatu kesalahan dalam jinayah syari’ah yang wajib dikenakan hukuman hudud ke atas mereka yang melakukan kesalahan zina itu.
Untuk mensabitkan seseorang itu bersalah dalam kes zina yang wajib dikenakan hukuman hudud mestilah dibuktikan dengan salah satu perkara-perkara berikut:
1. Perzinaan itu mesti dibuktikan oleh empat orang saksi. Firman Allah SWT dalam surah An Nisaa’ ayat 15.
Maksudnya:
“Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah 4 orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.”
2. Iqrar (pengakuan) daripada orang yang melakukan zina. Iqrar ini hendaklah dibuat di hadapan Imam (ketua negara) atau wakilnya seperti hakim atau qadhi.
3. Qarinah, iaitu perkara-perkara yang menunjukkan berlaku perzinaan, misalnya hamil (mengandung), bagi perempuan-perempuan yang tidak bersuami, atau tidak diketahui perempuan itu ada suami.
Syarat-Syarat Saksi
- Saksi-saksi itu mestilah empat orang yang semuanya terdiri daripada orang lelaki dan tidak diterima penyaksian orang perempuan.
- Baligh, iaitu orang yang telah dewasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh syara’.
- Berakal, iaitu orang yang mempunyai akal fikiran yang waras dan yang cukup sempurna akal fikirannya.
- Orang yang adil, iaitu orang yang tidak melakukan dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil.
- Saksi-saksi itu kesemuanya mestilah terdiri daripada orang-orang Islam, samada menjadi saksi ke atas orang Islam, atau yang bukan Islam.
- Saksi-saksi itu kesemuanya mestilah benar-benar melihat dengan matanya sendiri iaitu kemaluan lelaki itu ke dalam kemaluan perempuan itu seperti lidi celak masuk ke dalam tabungnya, atau seperti keris masuk ke dalam sarungnya.
- Keterangan saksi-saksi itu mestilah jelas, iaitu menerangkan secara hakiki masuk zakar lelaki itu ke dalam lubang faraj perempuan itu sebagaimana yang berlaku (bukan secara qiyasan).
Al Faqir Ilallah:
HISHAM MOHAMAD
No comments:
Post a Comment