ZINA bahagian III: Pelaksanaan Hukuman Hudud
Hukuman hudud hendaklah dilaksanakan oleh Imam
(Ketua Negara) atau wakilnya, iaitu hakim, tidak boleh dilaksanakan oleh orang
awam, kerana hukuman hudud itu adalah hak Allah yang disyariatkan untuk menjaga
kepentingan umat manusia.
Hukuman hudud hendaklah dilaksanakan di khalayak
ramai secara terang-terang, tidak boleh dilaksanakan dengan bersembunyi, iaitu
dengan disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.
Firman Allah SWT dalam surah An Nuur ayat 4:
Maksudnya:
“Dan
hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh
sekumpulan orang-orang yang beriman”
Hukuman hudud wajib diserahkan kepada Imam (Ketua
Negara) atau orang yang bertindak sebagai wakilnya, iaitu hakim atau qadhi,
kerana hukuman hudud itu perlu kepada ijtihad.
Hukuman hudud yang tidak dilaksanakan oleh ketua
negara atau wakilnya adalah dibimbangkan hukuman hudud itu tidak dijalankan
dengan sempurna atau melebihi daripada yang sepatutnya yang boleh menyebabkan
hukuman hudud itu tidak mengikut sebagaimana yang dikehendaki oleh syara’.
Kehadiran Imam (Ketua Negara) tidak menjadi syarat
dalam melaksanakan hukuman hudud, kerana Rasulullah SAW pada lazimnya tidak
hadir, ketika hukuman hudud itu dijalankan.
Untuk menjalankan hukuman hudud perlu dengan izin
Imam (Ketua Negara), kerana hukuman hudud yang dijalankan di zaman Rasulullah
SAW adalah dengan izin Baginda, dan di zaman Khulafa’ Ar Rasyidin pula adalah
dengan izin mereka itu.
Hakim yang hendak menjatuhkan hukuman hudud ke
atas orang-orang yang melakukan perzinaan disunatkan meminta penjelasan
daripada mereka itu sebelum hakim tadi menjatuhkan hukuman hudud itu, kerana
boleh jadi ia baru zina mata sahaja, atau baru zina hidung dengan mencium, atau
baru zina tangan dengan memegang sahaja.
Tindakan hakim sebagaimana tersebut adalah merujuk
hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a bersabit kes
Ma’iz bin Malik yang mengaku di hadapan Nabi SAW bahawa ia berzina, lalu
baginda bersaba;
“Barangkali
engkau baru mencium atau baru memegang sahaja, atau barangkali engkau baru
melihat, Ma’iz menjawab: Tidak ya Rasulullah. Lalu Rasulullah SAW bertanya:
Adakah engkau sudah muhsan? Ma’iz menjawab: Ya aku sudah muhsan. Maka Rasulullah
SAW memerintahkan sahabatnya merejam Ma’iz.”
Dalam kes zina, apabila orang yang didakwa berzina
itu menarik balik pengakuannya sebelum hukuman hudud itu dijatuhkan ke atasnya
disebabkan tidak ada bukti-bukti yang kukuh untuk mensabitkan kesalahan zina ke
atas orang yang didakwa berzina tadi, maka hukuman hudud itu tidak boleh
dikenakan ke atasnya dan gugurlah hukuman hudud itu.
Mereka yang telah mengaku berzina yang mungkin
pengakuannya itu dalam keadaan fikiran yang tidak sihat, atau kerana terlupa
menarik balik pengakuannya tadi, disunatkan bagi hakim menyindir-nyindir lebih
dahulu, dan menyelidiki lebih lanjut pengakuan mereka itu sebagaimana yang
dilakukan oleh Rasulullah SAW bersabit kes Ma’iz bin Malik untuk menjaga jiwa
manusia supaya terhindar dari hukuman hudud.
Hukuman rejam bagi pesalah lelaki hendaklah
dijalankan hukuman itu dalam keadaan berdiri tanpa diikat dan tidak ditanam,
samada kesalahannya disabitkan dengan saksi atau dengan iqrar
(pengakuan), kerana Rasullulah SAW tidak menanam Ma’iz bin Malik, dan dua orang
Yahudi ketika dijalankan hukuman rejam ke atas mereka itu.
Pesalah-pesalah perempuan yang dijatuhkan hukuman
rejam hendaklah ditanam sebahagian badannya, jika kesalahannya itu disabitkan
dengan saksi. Cara menjalankan hukuman rejam ke atas pesalah-pesalah perempuan
sebagaimana tersebut adalah merujuk hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan
daripada Abi Bakrah daripada bapanya katanya;
“Bahawasanya
Nabi SAW telah merejam seorang perempuan, lalu digalikan lubang hingga ke paras
susu perempuan itu untuk merejamnya”
Pesalah-pesalah perempuan yang dijatuhkan hukuman
rejam yang disabitkan kesalahannya dengan iqrar (pengakuan perempuan
itu) tidak perlu ditanam ketika dijalankan hukuman rejam, tetapi hendaklah
diikat pakaian perempuan itu supaya tidak terbuka auratnya.
Mereka yang mati disebabkan rejam, mayat mereka
itu hendaklah dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan di
perkuburan orang Islam sebagaimana hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada
Buraidah mengenai mayat Ma’iz bin Malik yang mati direjam, sabdanya;
“Laksanakanlah
mayat Ma’iz itu sebagaimana kamu laksanakan mayat-mayat kamu”
(Riwayat Ibnu Abi Syaibah)
Hukuman rejam boleh dijalankan pada bila-bila
masa, samada pesalah-pesalah itu dalam keadaan sihat atau sebaliknya, kerana
rejam itu memang hukuman untuk membinasakan pesalah-pesalah.
Pesalah-pesalah perempuan yang sedang hamil tidak
boleh dijalankan hukuman rejam ke atasnya, kecuali setelah dan selepas
perempuan itu melahirkan anaknya (bersalin).
Hukuman rejam tidak boleh dijalankan di dalam
masjid, malah hendaklah dijalankan di tempat yang luas dan jauh dari tempat
tinggal pesalah-pesalah itu.
Batu-Batu Yang Digunakan Untuk Merejam
Batu-batu yang harus digunakan untuk merejam
orang-orang yang melakukan kesalahan zina hendaklah batu-batu yang sederhana
besarnya, tidak terlalu kecil supaya tidak terlalu lama menyeksanya dan tidak
pula terlalu besar.
Hukuman sebat boleh dijalankan dengan menggunakan
cemeti dengan pukulan yang sederhana sebanyak seratus kali, dan cemeti yang
digunakan untuk penyebat itu bukan cemeti yang basah supaya tidak melukakan,
dan bukan pula cemeti yang bercabang atau pecah.
Penyebat yang menggunakan cemeti yang bercabang
atau cemeti yang pecah, sebatan itu tidak dikira sebagai satu sebatan, malah
sebatan tadi adalah mengikut bilangan cabang-cabang yang ada pada cemeti itu.
Hukuman sebat tidak boleh dijalankan di masa waktu
terlalu panas, atau di masa waktu tersangat sejuk. Hukuman sebat ini juga tidak
boleh dijalankan ke atas pesalah-pesalah yang sedang sakit dan
perempuan-perempuan yang sedang hamil dan perempuan-perempuan yang sedang
kedatangan nifas.
Pesalah-pesalah lelaki tidak perlu ditanggalkan
pakaiannya, kecuali boleh ditanggalkan pakaiannya, jika pesalah-pesalah itu
memakai pakaian yang tebal pada musim sejuk.
Tujuan Hukuman Sebat
Al Faqir Ilallah:
HISHAM MOHAMAD
No comments:
Post a Comment